Rabu, 10 Juni 2015

LEGENDA TATANAK DI DALAM MASYARAKAT BISAYA, BORNEO

Etnik Bisaya merupakan salah satu masyarakat pribumi di bumi Borneo. Ini kerana etnik Bisaya boleh didapati di Sarawak terutamanya di Sungai Limbang dan kemudian di Sabah iaitu terutamanya di Daerah Beaufort. Selain itu etnik Bisaya juga ramai didapati di Negara Brunei Darussalam. Di dalam artikel kali ini, Borneo Oracle akan memaparkan satu legenda bagaimana etnik Bisaya, Borneo ini mendapat nama dan artikel kali ini dinamakan Legenda Tatanak Di Dalam Masyarakat Bisaya, Borneo. 

Sebagai pembuka bicara adalah lebih molek untuk kita membuat pencerakahan ringkas di dalam memperkatakan Etnik Bisaya, Borneo ini kerana terlalu ramai yang melabelkan bahawa etnik Bisaya, Borneo sama ataupun berasal dari satu kumpulan masyarakat di Filipina yang bernama Bisaya, Binisaya atau Visayan. Hakikatnya etnik Bisaya yang ada di bumi Borneo sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan masyarakat Visayan di Filipina baik dari segi bahasa mahupun asal keturunannya. 

Etnik Bisaya, Borneo BUKAN berasal dari Filipina

Jika dilihat dari rumpun bahasa, bahasa Visayan, Filipina dipanggil bahasa Cebuano yang diklasifikasikan di dalam rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian; Phillippine, Central Phillippine; Visayan. Dan bahasa etnik Bisaya, Borneo yang dipanggil bahasa Tatana pula diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Sabahan, Dusunic, Bisaya, Southern. Dan secara ringkasnya boleh dikatakan bahasa Bisaya, Borneo adalah lebih merujuk kepada dialek berbanding dengan bahasa etnik Visayan, Filipina. 

Jika diingkap dari segi asal cerita legenda keturunan etnik Bisaya, Borneo pula dikatakan berasal daripada satu keluarga yang menghuni utara Borneo suatu waktu dahulu. Penghijrahan 7 adik beradik ini yang bernama Peti Berambai atau pati Berabai, Si Garamba, Peti Garamba, Peti Runa atau Pati Bagunak, Smaun atau Simaun dan Alak Betata atau Urak Betatar atau Lok Batata atau Awang Alah Bertabar dan seorang anak perempuan yang bernama Siti Duyah atau Duri atau Bunga Sunting adalah asal kepada etnik Bisaya yang ada diseluruh Borneo pada masa ini.

Dan menurut cerita legenda asal keturunan Etnik Bisaya, Borneo ini juga berkaitrapat dengan penentuan pemerintah Brunei yang pertama iaitu Alak Betatar yang telah memenangi pertandingan lumba perahu bagi menentukan siapakah yang layak bergelar raja dan raja yang pertama inilah yang bergelar Awang Alah Betatar yang kemudiannya bergelar Sultan Mohamad setelah memeluk Islam dan menjadi Sultan pertama Negara Brunei Darussalam. 

Selain daripada itu dari segi pengkajian sejarahwan menyatakan bahawa etnik Bisaya yang menghuni bumi Borneo sekarang menurut laporan Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada tahun 1956 sependapat menyatakan bahawa etnik Bisaya merupakan kumpulan masyarakat yang berasal daripada Kerajaan Srivijaya melalui panglima mereka yang bernama Sri Bisaya. Pendapat ini juga disahkan oleh seorang pengkaji sejarahwan iaitu Sonza pada tahun 1972. 

Manakala untuk masyarakat Visayan, Filipina pula asal keturunannya tidak langsung mempunyai kaitan dengan etnik Bisaya, Borneo kerana masyarakat Visayan, Filipina adalah merupakan sekumpulan masyarakat yang dipimpin oleh seorang pemerintah yang bernama Lapu-Lapu. Raja Lapu-Lapu ini merupakan pemerintah awal satu kerajaan kuno yang bernama Kingdom of Mactan yang wujud sekitar tahun 1200 Masihi. Dan sejarah Kingdom Of Mactan ini ada diceritakan oleh seorang pengembara bernama Ferdinand Magellan yang terlebih dahulu menjadi bangsa Eropah yang pertama berkomunikasi dengan masyarakat Visaya pada tahun 1521. Pada ketika itu ianya diperintah Raja Humabon. Dan setelah kedatangan Sepanyol, ianya lebih dikenali sebagai Islas De San Lazaro.

Jadi berdasarkan kepada fakta-fakta ini adalah salah melabelkan etnik Bisaya yang ada di bumi Borneo iaitu mereka yang menghuni Sarawak, Sabah mahupun Brunei sebagai mereka yang berasal dari Filipina kerana etnik Bisaya adalah etnik pribumi Borneo sejak ribuan tahun lagi. 

Legenda Tatanak Dan Dang Insum 

Tatanak? 

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar nama Tatanak kerana ianya jarang digunakan apabila berbicara mengenai etnik Bisaya, Borneo. Sebenarnya untuk pengetahuan semua sebelum nama Bisaya diberi, masyarakat ini dipanggil masyarakat Tatanak. Dan keindahan serta kecantikan masyarakat Tatanak inilah menjadi legenda mengapa mereka dipanggil etnik Bisaya sekarang. 

Al-sahibul hikayat diceritakan bahawa suatu waktu dahulu Sultan Brunei telah mengadakan pertandingan ratu cantik bagi memeriahkan upacara sambutan puja usia untuk dirinya. Pada ketika itulah Sultan Brunei telah mewajibkan kesemua daerah-daerah jajahannya untuk menghantar wakil di dalam pertandingan ratu cantik tersebut. Sebagai menghormati jemputan itulah dikatakan masyarakat Bisaya telah menghantar seorang gadis yang gah namanya baik dari segi rupa paras yang bernama Dang Insum. 

Dang Insum bukanlah sembarangan gadis Bisaya kerana selain daripada keayuannya yang bisa meruntunkan jiwa setiap jejaka yang memandangnya juga digambarkan sebagai seorang srikandi Bisaya kerana beliaulah juga terkenal dengan kehandalannya di dalam ilmu peperangan serta mempunyai kesaktian yang tinggi. Dang Insum inilah juga menurut sejarahnya merupakan antara srikandi yang mempertahankan “Kota Makarang” iaitu jajahan wilayah Damit iaitu hak tulin kepada Pengiran Syahbandar Hassan wakil kepada Sultan Brunei daripada diceroboh oleh pihak British North Borneo Chartered Company suatu waktu dahulu. 

Berbalik kepada pertandingan ratu cantik sempena puja usia ini maka apabila tiba harinya berangkatlah kesemua ratu-ratu daripada setiap jajahan takhluk Kerajaan Brunei pada masa itu ke Kota Brunei. Dengan penuh gilang-gemilang maka bermulalah pertandingan ratu cantik tersebut. Sebenarnya pertandingan ratu cantik untuk puja usia Sultan Brunei pada masa itu bukan sahaja berkenaan dengan kecantikan semata-mata tetapi mencakupi bidang yang lain. 

Hendak dijadikan cerita, pertandingan ratu cantik ini mempunyai beberapa kategori yang tersendiri iaitu setiap ratu cantik haruslah pandai bermain senjata seperti memanah dan sebagainya. Juga harus pandai menguasai ilmu dapur iaitu memasak dan sebagainya. Dan sudah tentu juga pandai menguasai ilmu seni seperti menyanyi mahupun menari. Dan ketika inilah pertandingan ratu cantik yang penuh pancaroba ini dilalui dengan penuh sabar oleh Dang Insum. Ternyata wanita Tatanak ini amat sempurna di dalam serba serbi sehingga beliau dikatakan menjadi juara di dalam setiap kategori.

Dan kemuncak kepada pertandingan ratu cantik puja usia ini adalah pertunjukan kecantikan dengan pakaian tradisional masyarakat dan ketika inilah apabila Sultan Brunei terpandang kecantikan Dang Insum telah menyebut .. Bisai Yah! Bisai Yah! Bisai Yah! Iaitu bahasa yang bermaksud tersangat cantik. Kerana pujian itulah juga akhirnya Dang Insum menjadi Juara pertandingan ratu cantik puja usia itu. 

Kerana adanya rombongan masyarakat Tatanak yang turut serta bagi memberi sokongan kepada Dang Insum itu telah menceritakan segala pujian yang telah diucapkan oleh Sultan Brunei kepada orang kampung mereka. Akhirnya ianya kekal dipertuturkan Bisaya oleh masyarakat Tatanak di dalam memperkatakan nama baru untuk etnik mereka iaitu Bisaya. 

Inilah sekelumit perkongsian cerita legenda mengenai bagaimana etnik Bisaya mendapat nama serta ringkasan perbezaan masyarakat Bisaya, Borneo dengan bangsa Visayan, Filipina. Sesunguhnya Legenda Tatanak ini hanyalah cerita oral di dalam masyarakat Bisaya, Borneo dan sudah tentu apabila berbicara mengenai cerita legenda ianya adalah satu cerita benar yang ditokok tambah oleh penglipur lara bagi mencantikkan jalan ceritanya. 

Yang pasti, memang tidak disangkal sememangnya kecantikan wanita etnik Bisaya, Borneo adalah satu anugerah tuhan yang terindah untuk kita semua.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar